• Utama
  • Perhutanan
  • Pembangunan
  • Persijilan Pengurusan Hutan

Pensijilan Pengurusan Hutan

Latar Belakang

Kriteria dan Petunjuk Malaysia untuk Pensijilan Pengurusan Hutan (Hutan Asli) [MC&I(Hutan Asli)] adalah standard yang digunakan untuk pensijilan pengurusan hutan semula jadi di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (Malaysian Timber Certification Scheme - MTCS). MC&I(Hutan Asli) adalah hasil semakan semula MC&I(2002) yang dijalankan oleh 15 orang ahli Jawatankuasa Semakan Semula Standard (Standards Review Committe-SRC) dari April 2009 hingga September 2011. MC&I(Hutan Asli) mula berkuatkuasa pada 1 Julai 2012.

Selaras dengan Peraturan-Peraturan mengenai Proses Penetapan Standard untuk Pembangunan Standard Pensijilan Kayu dan sebagai skim yang disahkan di bawah Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC), setiap standard pengurusan hutan di bawah MTCS adalah dikehendaki untuk

menjalani semakan semula dalam tempoh tidak lebih daripada lima tahun. Ini adalah untuk memastikan bahawa standard itu sentiasa dipertingkatkan dan kekal relevan serta terkini, dengan mengambil kira perkembangan terbaharu dalam teknologi dan sistem pengurusan.

Cadangan Proses dan Garis Masa untuk Semakan Semula MC&I(Hutan Asli) telah diluluskan oleh Lembaga Pemegang Amanah MTCC pada Mesyuarat ke-63 pada 9 Jun 2015. Berikutan cadangan pihak pengurusan MTCC bagi semakan semula untuk mempertimbangkan penggabungan MC&I(Hutan Asli) dengan MC&I Ladang Hutan.v2 sebagai satu standard, maka pihak perunding telah dilantik oleh MTCC. Untuk mendapatkan maklum balas semua pihak berkepentingan mengenai cadangan penggabungan kedua-dua standard tersebut, hasil daripada rundingan berkenaan telah dibentangkan dalam Dialog Pihak Berkepentingan MTCC yang diadakan pada 28 Julai 2015. Peserta-peserta dialog secara amnya bersepakat bahawa penggabungan dan penyelarasan kedua-dua standard pensijilan pengurusan hutan ini adalah satu pendekatan yang pragmatik dan logik bagi penyemakan semula MC&I(Hutan Asli), dan akan membolehkan penggunaan masa dan sumber daya yang lebih efisien dalam jangka panjang.

Proses Semakan Semula

Lanjutan daripada pemetaan pihak-pihak berkepentingan, pengumuman mengenai proses semakan semula dan tempoh masa telah disampaikan secara bertulis kepada semua pihak berkepentingan yang berkaitan di Malaysia dan dimuatnaik di laman sesawang MTCC pada 8 Oktober 2015. Proses semakan semula secara rasmi dimulakan dengan pelaksanaan ulasan awam dalam tempoh 60 hari pertama yang diadakan dari 16 November 2015 hingga 15 Januari 2016 untuk mendapatkan maklum balas, ulasan dan cadangan daripada semua pihak berkepentingan yang berkaitan serta mana-mana pihak di Malaysia yang berminat dengan proses semakan semula yang dicadangkan serta standard yang sedang disemak semula.

Oleh kerana proses semakan semula akan dilaksanakan oleh SRC, proses penubuhan keanggotaan SRC dijalankan selari dengan tempoh ulasan awam. Pembentukan SRC dimulakan melalui surat jemputan kepada pelbagai pihak berkepentingan untuk mencalonkan wakil bagi kumpulan berkepentingan masing-masing kepada SRC. Surat jemputan telah diedarkan oleh MTCC pada 13 November 2015. Pencalonan yang diterima daripada setiap kumpulan berkepentingan telah dikumpulkan dan diedarkan kepada kumpulan berkepentingan tersebut untuk pengundian pada bulan Januari 2016. Ahli SRC seramai 15 orang itu terdiri daripada wakil-wakil yang dicalonkan oleh pihak berkepentingan masingmasing dan merangkumi kumpulan-kumpulan berkepentingan iaitu sosial (Orang Asal dan kesatuan pekerja), alam sekitar dan ekonomi serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Dua mesyuarat SRC untuk menyemak semula MC&I(Hutan Asli) telah dijalankan pada 12-14 April 2016 dan 21-23 September 2016, sejajar dengan semakan semula penanda aras PEFC untuk Pengurusan Hutan Mampan (PHM). Memandangkan semakan semula MC&I(Hutan Asli) perlu mengambil kira

perubahan yang dibuat kepada penanda aras PEFC untuk PHM dan bagi memastikan bahawa MC&I(Hutan Asli) yang telah disemak semula ini mematuhi keperluan-keperluan PEFC, Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah MTCC ke-71 yang diadakan pada 7 Mac 2017 telah bersetuju untuk menangguhkan semakan semula MC&I(Hutan Asli) sehingga semakan semula penanda aras PEFC untuk PHM selesai dijalankan.

Lanjutan penerimaan standard penanda aras PEFC dan seiring dengan keputusan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah MTCC ke-75 yang diadakan pada 6 Mac 2018, proses semakan semula MC&I(Hutan Asli) telah disambung semula dengan pelaksanaan Mesyuarat Ketiga SRC yang diadakan pada 17-18 Julai 2018. Mesyuarat Keempat SRC yang diadakan pada 18-20 Februari 2019 telah menghasilkan Draf Pertanyaan MC&I untuk Pensijilan Pengurusan Hutan, yang merupakan dokumen gabungan yang mengandungi

keperluan-keperluan untuk pensijilan kedua-dua hutan asli dan ladang hutan.

Konsultasi awam bagi mengulas Draf Pertanyaan mengenai standard yang telah disemak semula telah diadakan dari 20 Mei hingga 19 Julai 2019. Tiga konsultasi serantau bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak juga telah dijalankan semasa tempoh konsultasi awam untuk memaklumkan kepada pihak berkepentingan serta menjawab pertanyaan mengenai perubahan yang telah dibuat terhadap standard tersebut.

Semua ulasan yang diterima semasa konsultasi awam telah disusun dan dipertimbangkan di Mesyuarat Kelima SRC yang diadakan di Pulau Pinang pada 9-11 Disember 2019. Draf Akhir yang mempertimbangkan kesemua ulasan yang dibuat semasa konsultasi awam telah dimuktamadkan dan diterima pakai oleh Mesyuarat Kelima SRC dan seterusnya diluluskan oleh Lembaga Pemegang Amanah MTCC pada 5 Mac 2020.

Penggunaan Standard

MTCS mematuhi peraturan tadbir urus yang baik bagi mengekalkan kesaksamaan, kebebasan dan ketelusan dalam pembangunan dan pelaksanaan standard ini. Pematuhan ini dicapai melalui penyertaan terbuka pelbagai pihak berkepentingan dalam SRC serta input-input yang diterima daripada pihak berkepentingan yang berminat sepanjang proses semakan semula standard.

Kriteria dan Petunjuk Malaysia (MC&I) untuk Pengurusan Hutan Mampan (PHM) atau singkatannya MC&I SFM adalah standard kebangsaan pensijilan pengurusan hutan yang menetapkan keperluankeperluan untuk pensijilan sistem pengurusan hutan mampan bagi unit pengurusan hutan (FMU) yang ditentukan, sama ada hutan asli atau ladang hutan. Standard ini menggantikan MC&I(Hutan Asli) dan MC&I Ladang Hutan.v2 sebagai standard yang akan digunakan untuk pensijilan pengurusan hutan bagi hutan asli dan ladang hutan di Malaysia.

Standard ini telah direka untuk menyokong dan mengukuhkan rangka kerja pengawalseliaan di dalam kawasan operasi pengurus hutan, di mana pematuhan undang-undang adalah keperluan minimum. Ia adalah set keperluan-keperluan yang menyokong pencapaian pengurusan hutan mampan yang mana berkemungkinan melangkaui had perundangan minimum untuk memenuhi keperluan pensijilan daripada aspek sosial, alam sekitar dan ekonomi.

Standard ini disusun sejajar dengan sembilan (9) Prinsip seperti berikut:

Prinsip 1: Pematuhan kepada Undang-Undang

Prinsip 2: Hak Pegangan dan Penggunaan serta Tanggungjawab

Prinsip 3: Hak-Hak Orang Asal

Prinsip 4: Hubungan Masyarakat dan Hak-Hak Pekerja

Prinsip 5: Faedah-Faedah daripada Hutan

Prinsip 6: Impak Alam Sekitar

Prinsip 7: Rancangan Pengurusan

Prinsip 8: Pemantauan dan Penilaian

Prinsip 9: Penyelenggaraan Kawasan yang Mempunyai Nilai Pemuliharaan yang Tinggi (HCVA)

Keperluan-keperluan dalam standard ini diguna pakai untuk kedua-dua hutan asli dan ladang hutan kecuali dinyatakan secara khusus dalam Kriteria atau Petunjuk atau Verifier, dan mesti dipatuhi sepanjang aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan di dalam Unit Pengurusan Hutan (FMU) sama ada oleh pemilik, pengurus, kontraktor, pengendali atau pekerja-pekerja yang terlibat dalam aktiviti-aktiviti pengurusan FMU.

Pemilik-pemilik atau pengurus-pengurus hutan boleh membentuk kumpulan yang dapat disijilkan mengikut keperluan standard ini di bawah konsep pensijilan berkelompok. Dokumen panduan bagi permohonan pensijilan pengurusan hutan berkelompok boleh dimuat turun daripada laman sesawang

MTCC. Standard ini merupakan dokumen normatif, yang mana tafsiran atau panduan berkemungkinan akan dikeluarkan dari semasa ke semasa untuk memberikan penjelasan tambahan mengenai keperluankeperluan standard.

NOTA 1: Pengurusan hutan merangkumi kedua-dua pengurusan hutan asli dan ladang hutan.

NOTA 2: Unit pengurusan hutan (FMU) merujuk kepada unit pengurusan hutan asli atau unit

pengurusan ladang hutan.

NOTA 3: Pelan pengurusan hutan merujuk kepada pelan pengurusan hutan untuk hutan asli atau pelan

pengurusan ladang hutan atau pelan pembangunan perladangan.

Definisi  Istilah Utama

Istilah

Definisi

Orang Asli

Orang Asli di Semenanjung Malaysia adalah pribumi seperti yang ditakrifkan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 160(2), dan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) 1954, Seksyen 3.

Adat

Norma dan adat yang diterima dan dijadikan panduan kehidupan masyarakat Orang Asal,  merangkumi cara hidup, nilai-nilai asas, sistem-sistem kepercayaan, tata kelakuan, adab sopan, konvensyen-konvensyen, amalan-amalan pertanian dan kebudayaan mengikut mana yang diperintahkan terhadap masyarakat Orang Asal.

Agen-agen kawalan biologi

Organisma hidup yang digunakan untuk menghapuskan atau mengawal populasi organisma-organisma hidup yang lain.

(Sumber: IUCN, 2016)

Koridor biologi

Kawasan habitat yang menghubungkan populasi-populasi hidupan liar yang terpisah oleh aktiviti-aktiviti manusia (seperti jalan raya, pembangunan atau pembalakan). Ini membolehkan pertukaran individu di antara populasi, yang boleh membantu mencegah kesan negatif daripada pembiakbakaan dalam dan pengurangan kepelbagaian genetik (melalui hanyutan genetik) yang sering berlaku dalam populasi-populasi terpencil. Koridor-koridor juga boleh membantu memudahkan pembentukan semula populasi-populasi yang telah berkurangan atau terhapus disebabkan oleh kejadian luar jangka (seperti kebakaran atau penyakit). Ini mungkin berpotensi mengurangkan beberapa kesan terburuk dari fragmentasi habitat.

Kepelbagaian Biologi

Kebolehubahan antara organisma-organisma hidup daripada semua sumber termasuk, antara lain, ekosistem daratan, marin dan akuatik lain dan kompleks-kompleks ekologi yang mana sebahagiannya merangkumi kepelbagaian dalam spesies, antara spesies dan ekosistem-ekosistem.

(Sumber: Konvensyen Kepelbagaian Biologi, 1992)

Rantaian Pengawalan (produk berasas hutan)

Proses pengendalian maklumat mengenai kategori bahan produk berasas hutan yang membolehkan organisasi membuat pengesahan tuntutan mengenai kandungan bahan yang disijilkan.

(Sumber: PEFC ST 2002:2013 – Chain of Custody of Forest Based Products - Requirements) Rantaian Pengawalan Produk Berasas Hutan - Keperluan

 

Kriteria

Suatu kaedah untuk menilai sama ada Prinsip dalam standard telah dipenuhi atau tidak.

Hak adat

Boleh difahami sebagai akses, kawalan dan penggunaan tanah mengikut prinsip, nilai, adat dan tradisi yang lama, termasuk penggunaan bermusim atau kitaran, yang beroperasi di luar sistem perundangan yang formal. Hak-hak ini dikaitkan dengan institusi pentadbiran tanah tradisional dan undang-undang adat yang menentukan bagaimana hak-hak diperintah, diperuntuk dan dipelihara.

(Sumber: UN-REDD programme, Legal Analysis of Cross-Cutting Issues for REDD+ Implementation: Lessons learned from Mexico, Viet Nam and Zambia, 2013)

Hutan Terosot

Tanah dengan penurunan ketara jangka panjang dalam potensi keseluruhan untuk membekalkan faedah-faedah daripada hutan, yang meliputi penyimpanan karbon, kayu, biodiversiti dan barangan-barangan serta perkhidmatan-perkhidmatan lain.

(Sumber: PEFC ST 1003:2018 – Sustainable Forest Management – Requirements)

Ekosistem

Satu kompleks dinamik komuniti tumbuhan, haiwan dan mikro-organisma serta persekitaran bukan hidup mereka yang berinteraksi sebagai satu unit yang berfungsi.

(Sumber: Artikel 2, Konvensyen Kepelbagaian Biologi, 1992)

Kawasan sensitif alam sekitar

 

Kawasan-kawasan yang sangat penting dari segi barangan, perkhidmatan dan sistem sokongan kehidupan seperti bekalan sumber air, kawalan perosak dan kawalan hakisan. Di samping itu kawasan ini  juga menyimpan kekayaan biodiversiti negara sebagaimana takrifan di bawah Definisi dan Kriteria Pengurusan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (ESA), Rancangan Fizikal Negara-3.

(Sumber: Diadaptasikan daripada Rancangan Fizikal Negara-2, 2010)

Spesies Eksotik

Spesies tumbuhan atau haiwan yang diperkenalkan ke dalam kawasan di mana ia tidak wujud secara semula jadi, dan bukan spesies semula jadi.

Hutan

Kawasan tanah berkeluasan minimum 0.5 hektar dengan penutupan silara pokok (atau tahap stok setara) yang sekurang-kurangnya 30 peratus dengan pokok-pokok berpotensi untuk mencapai ketinggian minimum 2-5 meter pada masa matang dalam kawasan asal. Sesebuah hutan itu mungkin terdiri daripada pembentukan hutan tertutup di mana pokok-pokok daripada pelbagai tingkat dan belukar melitupi sebahagian besar tanah atau hutan terbuka. Dirian semula jadi yang muda dan semua ladang hutan yang belum mencapai kepadatan silara pokok 10-30 peratus atau ketinggian pokok 2-5 meter adalah juga termasuk sebagai hutan.

(Sumber: Diadaptasikan daripada ITTO, 2002 dan FAO, 2003)

Penukaran Hutan

Perubahan hutan secara langsung oleh manusia kepada tanah bukan hutan atau ladang hutan.

Nota: Regenerasi melalui penanaman semula atau penyemaian terus dan/atau penjanaan sumber-sumber benih semula jadi yang disebabkan oleh manusia, kepada spesies dominan yang sama seperti yang dituai atau campuran spesies lain yang terdapat dalam campuran spesies asal tidak dianggap sebagai satu penukaran.

(Sumber: PEFC ST 1003:2018 – Sustainable Forest Management – Requirements)

Pengurusan / pengurus hutan

Pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan operasi sumber hutan dan perusahaan, termasuk sistem dan struktur pengurusan, serta perancangan dan operasi lapangan.

Unit pengurusan hutan (FMU)

Unit pengurusan hutan adalah kawasan Sustainable Forest Management atau ladang hutan yang ditentukan dengan jelas yang diuruskan dengan set objektif yang terperinci dan mengikut pelan pengurusan jangka panjang.

Ladang hutan

Hutan yang mempunyai spesies diperkenalkan, dan dalam sesetengah keadaan spesies asli,  diwujudkan melalui penanaman atau penyemaian, terutamanya untuk pengeluaran kayu dan barangan bukan kayu serta perkhidmatan.

Nota 1: Termasuk semua dirian spesies diperkenalkan yang diwujudkan untuk pengeluaran kayu atau barangan bukan kayu serta perkhidmatan.

Nota 2: Ia mungkin termasuk kawasan-kawasan spesies semula jadi yang bercirikan beberapa spesies, persiapan kawasan yang intensif (contohnya penanaman), tanaman pokok secara baris dan/atau dirian umur sebaya.

(Sumber: PEFC ST 1003:2018 – Sustainable Forest Management – Requirements)

Pekerja hutan

Seorang individu yang merupakan pekerja pengurus FMU, pemegang lesen, kontraktor atau pengilang, atau merupakan pemilik/pengendali bebas yang menjalankan satu atau lebih fasa yang terlibat dalam pengusahasilan (Sustainable Forest Management)/penuaian (ladang hutan) kayu-kayan daripada kawasan lesen, atau penghantaran kayu-kayan kepada loji penukaran. Dalam konteks dokumen ini, definisi pekerja termasuklah pekerja tempatan dan pekerja warga asing.

Makluman awal, bebas dan telus

Suatu proses membuat keputusan yang tidak melibatkan paksaan/pengaruh yang tidak wajar/manipulasi (bebas), dibuat sebelum aktiviti dijalankan (awalan), dan berdasarkan pemahaman yang jelas (pemberitahuan), dan melibatkan persetujuan (mengatakan 'ya' atau 'tidak') terhadap sesuatu aktiviti, program atau dasar (persetujuan). Dalam proses FPIC, persetujuan hendaklah difahami berdasarkan takrif istilah "consensus".

Organisma/pokok yang diubah suai secara genetik

Pokok yang telah diubah genetiknya sama ada secara semula jadi melalui pembiakan dan/atau penggabungan, dengan mengambil kira aspek perundangan yang berkaitan yang memberikan takrifan yang khusus bagi organisma-organisma diubah suai secara genetik.

Nota 1: Teknik-teknik berikut dianggap sebagai pengubahsuaian genetik yang menghasilkan pokok-pokok diubah suai secara genetik (EU Directive 2001/18/EC):

1.   teknik-teknik asid nukleik rekombinan yang melibatkan pembentukan kombinasi-kombinasi bahan genetik baharu melalui penyisipan molekul asid nukleik yang dihasilkan dengan apa jua cara di luar organisma, ke dalam mana-mana virus, plasmid bakteria atau sistem vektor lain dan penggabungan mereka ke dalam organisma tuan rumah di mana tidak berlaku secara semula jadi tetapi yang mana mampu meneruskan pembiakan;

2.   teknik-teknik yang melibatkan gabungan langsung ke dalam organisma bahan-bahan boleh diwarisi yang disediakan di luar organisma termasuk suntikan mikro, suntikan makro, dan pengkapsulan mikro;

3.   Penggandaan sel (termasuk penggandaan protoplas) atau teknik-teknik pembaikbiakan di mana sel-sel hidup dengan kombinasi-kombinasi baharu bahan genetik boleh diwarisi, dibentuk melalui penggandaan dua atau lebih sel dengan kaedah-kaedah yang tidak berlaku secara semula jadi.

Nota 2: Teknik-teknik berikut tidak dianggap sebagai pengubahsuaian genetik yang menghasilkan pokok-pokok yang diubah suai secara genetik (EU Directive 2001/18/EC):

1.   persenyawaan in-vitro;

2.   proses-proses semula jadi seperti konjugasi, transduksi, transformasi;

3.   aruhan polyploidi.

(Sumber: Arahan EU 2001/18 / EC)

Kawasan yang Mempunyai Nilai Pemuliharaan yang Tinggi (HCVA)

Kawasan Yang Mempunyai Nilai Pemuliharaan Yang Tinggi (HCVA) adalah kawasan yang mempunyai satu atau lebih sifat-sifat berikut:

a)  Kawasan-kawasan hutan yang mengandungi penumpuan nilai-nilai kepelbagaian biodiversiti yang signifikan di peringkat global, serantau atau kebangsaan (contohnya: endemik, spesies terancam, refugia); dan/atau hutan-hutan peringkat landskap yang besar, yang terkandung di dalamnya, atau yang mengandungi unit pengurusan, di mana kebanyakan populasi yang berdaya hidup adalah bukan spesies yang terjadi secara semula jadi yang wujud dalam pola-pola pengagihan dan kelimpahan semula jadi.

b) Kawasan-kawasan hutan yang di dalam atau mempunyai ekosistem yang jarang ditemui, dalam bahaya atau terancam.

c)  Kawasan-kawasan hutan yang menyediakan perkhidmatan asas alam semula jadi dalam situasi-situasi kritikal (contohnya perlindungan kawasan tadahan air, kawalan hakisan).

d) Kawasan-kawasan hutan yang mensasarkan untuk memenuhi keperluan-keperluan asas masyarakat setempat (contohnya sara hidup, kesihatan) dan/atau kritikal kepada identiti budaya tradisional masyarakat setempat (kawasan-kawasan yang mempunyai kaitan budaya, ekologi, ekonomi atau keagamaan yang dikenal pasti dengan kerjasama komuniti-komuniti setempat tersebut).

Maklumat tambahan:     Malaysian National Interpretation for the Identification of High Conservation Values, 2018

Petunjuk

Sesuatu ciri yang kualitatif, kuantitatif atau deskriptif di mana apabila disukat atau dipantau secara berkala akan menunjukkan arah perubahan sesuatu Kriteria.

(Sumber: ITTO, 2016)

Orang Asal

Orang Asal di Malaysia merujuk kepada Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan Pribumi di Sabah dan Sarawak.

Pribumi

Pribumi di Sabah adalah Orang Asli seperti yang ditakrifkan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 161 (A), Fasal 6 dan Interpretation (Definition of Native) Ordinance, 1952.

Pribumi di Sarawak adalah Orang Asli seperti yang ditakrifkan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 161 (A), Fasal 6 dan 7 dan Schedule to the Interpretation Ordinance, 2005 (Cap. 61).

Landskap

Suatu mozek geografi yang terbentuk daripada ekosistem-ekosistem yang berinteraksi akibat pengaruh geologi, topografi, tanah, iklim, biotik dan manusia di kawasan tertentu.

(Sumber: IUCN, 2016)

Masyarakat Setempat

Masyarakat yang tetap atau stabil yang bergantung kepada sumber dan ekosistem hutan, serta mempunyai peraturan-peraturan tersendiri, norma budaya dan harapan mereka tersendiri, yang tinggal di dalam atau berdekatan kawasan FMU, dan menerima kesan daripada operasi pengurusan hutan di FMU.

Undang-undang tempatan

Ianya termasuk semua norma perundangan yang diberikan oleh organisasi kerajaan di mana bidang kuasanya adalah kurang daripada kuasa peringkat kebangsaan, seperti norma-norma jabatan, perbandaran dan adat.

(Sumber: IUCN, 2016)

Sustainable Forest Management

Kawasan-kawasan hutan di mana kebanyakan ciri-ciri dan elemen-elemen utama ekosistem-ekosistem asal seperti kompleksiti, struktur, dan kewujudan kepelbagaian hayat.

Hasil hutan bukan kayu/produk

Sebarang hasil/produk atau perkhidmatan selain daripada kayu-kayan yang dihasilkan di hutan.

(Sumber: Diadaptasikan dari Pusat Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa (CIFOR), http://www.cifor.org/publications/corporate/factsheet/NTFP.htm)

Pendekatan berwaspada

Intipati kepada pendekatan berwaspada diberikan dalam Prinsip 15 Deklarasi Rio, yang menyatakan; “Di mana wujud ancaman serius atau kerosakan yang tidak dapat dipulihkan  dan kurangnya bukti saintifik tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menangguhkan langkah-langkah efektif untuk mencegah kemerosotan alam sekitar.”

(Sumber: Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai
Alam Sekitar dan Pembangunan, 1992)

Prinsip

Peraturan atau elemen yang penting untuk pengawasan hutan.

Jarang ditemui, dalam bahaya atau terancam (RTE)

Spesies yang berisiko, sedang mengalami atau telah mengalami penurunan populasi yang teruk.

Jarang ditemui adalah bergantung kepada skala dan termasuk spesies yang:

·     Semula jadinya jarang ditemui, hanya wujud pada kepadatan-kepadatan yang sangat rendah dalam habitat yang tidak terganggu, atau

·     Jarang ditemui akibat aktiviti-aktiviti manusia, misalnya kemusnahan habitat, pemburuan berlebihan, perubahan iklim

·     Terhad kepada taburan semula jadi di kawasan tersebut (walaupun spesies-spesies ini biasa wujud di tempat lain)

Spesies dalam bahaya dan terancam juga termasuk spesies yang diklasifikasikan oleh IUCN sebagai Vulnerable (VU), Endangered (EN) dan Critically Endangered (CR) di peringkat global atau serantau, atau perdagangannya dikawal selia di bawah perjanjian-perjanjian antarabangsa (contohnya CITES), serta spesies kebangsaan yang dilindungi.

(Sumber: Diadaptasikan dari HCV Resource Network, Oct 2013.
Common Guidance for the Identification of High Conservation Values
)

Sistem Sogit

Sogit adalah satu sistem Kadazandusun untuk pemberian ganti rugi atau hukuman, pemulihan atau pembalasan yang wujud di dalam sistem keadilan Adat. Sogit adalah satu bentuk kepercayaan/adat istiadat untuk pelbagai jenis penebusan dan pampasan dan huraian serta langkah-langkah yang perlu diambil bergantung kepada aspek adat yang telah dilampaui batas atau dilanggar.

Pihak berkepentingan

Individu-individu atau organisasi-organisasi yang mempunyai kepentingan yang sah terhadap barangan dan perkhidmatan yang disediakan oleh FMU; dan mereka yang mempunyai kepentingan terhadap kesan alam sekitar dan sosial akibat aktiviti-aktiviti, produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan oleh FMU. Mereka termasuklah individu-individu dan organisasi-organisasi yang melaksanakan kawalan alam sekitar ke atas FMU; masyarakat setempat; para pekerja; para pelabur dan penginsuran; para pembeli dan pengguna; kumpulan pencinta alam sekitar dan kumpulan pengguna serta orang awam.

Sesaran

Perubahan yang progresif dalam komposisi spesies dan struktur hutan yang disebabkan oleh proses-proses semula jadi dalam suatu tempoh masa.

(Sumber: ITTO, 2016)

Sistem Tagal

Sistem Tagal merangkumi susunan-susunan tertentu yang dikongsi dan dipersetujui secara komunal, peraturan dan protokol dalam pengurusan, pemuliharaan dan perkongsian faedah dari sumber-sumber tradisional seperti sungai, tanah dan sumber hutan termasuklah Sogia'an (hartanah-hartanah yang dimiliki bersama secara komunal). Sistem Tagal dikuatkuasakan di dua peringkat sistem keadilan Kadazandusun:

  i.   Sistem Keadilan Mahkamah Anak Negeri

 ii.   Momolianistic Divine meted Justice System

Antara sistem Tagal yang paling ketara yang diamalkan oleh Kadazandusun hari ini ialah Tagal Bawang (Sistem Tagal Sumber-Sumber Sungai), satu amalan komunal yang unik dalam pengurusan sumber sungai, pemuliharaan dan perkongsian faedahnya.

Pegangan

Persetujuan-persetujuan secara sosial yang dipegang oleh individu atau kumpulan, diiktiraf oleh perundangan atau amalan adat resam, berkaitan dengan pemilikan “himpunan hak dan kewajipan” ke atas pegangan, akses dan/atau penggunaan unit tanah tertentu atau sumber-sumber yang terkandung di dalamnya (seperti pokok-pokok, spesies tumbuhan, air, mineral-mineral dan sebagainya).

(Sumber: IUCN, 2016)

Hak-hak penggunaan

Hak-hak untuk menggunakan sumber-sumber hutan yang diperuntukkan mengikut adat tempatan, atau perjanjian bersama atau yang ditentukan oleh pihak lain yang mempunyai hak akses. Hak-hak ini boleh mengehadkan penggunaan sumber daya tertentu ke had-had pengusahasilan/penuaian tertentu atau teknik pengeluaran yang spesifik.

(Sumber: ITTO, 2016)

Verifier 

Data atau maklumat yang mempertingkatkan pengkhususan atau mempermudahkan penilaian sesuatu petunjuk. Verifier memberikan maklumat terperinci yang boleh menunjukkan keadaan yang dikehendaki bagi sesuatu petunjuk. Ia boleh menambahkan maksud, kejituan serta tahap keteperician bagi sesuatu petunjuk. Ia boleh menentukan had-had zon andaian yang mana langkah pemulihan masih boleh dibuat dengan selamat (takat sasaran prestasi). Selain itu, ia juga boleh ditafsirkan sebagai prosedur-prosedur yang diperlukan untuk menentukan keadaan-keadaan yang ditetapkan dalam petunjuk yang berkaitan (kaedah pengesahan).

(Sumber: The CIFOR Criteria and Indicators Generic Template. The Criteria & Indicators Toolbox Series 2, 1999)




Mesyuarat Pembukaan Audit MC&I
Mesyuarat Pembukaan Audit MC&I di Jabatan Perhutanan Negeri Perak

Semakan di Balai Pemeriksaan Hutan
Semakan di Balai Pemeriksaan Hutan untuk mengenalpasti semua produk hutan yang dikeluarkan dari kawasan yang akan dijalankan pensijilan.

Pemantauan
Pemantauan terhadap operasi pengurusan hutan untuk menilai impak terhadap ekologi dan alam sekitar.

Pemantauan
Pemantauan terhadap operasi pengurusan hutan untuk menilai impak terhadap ekologi dan alam sekitar.

Pemeriksaan
Pemeriksaan di lapangan untuk menilai pelaksanaan operasi hutan mengikut garis panduan.

Hasil pengauditan Pensijilan Semula / Pemantauan oleh badan pensijilan bebas, Jabatan Perhutanan Negeri Perak telah memperolehi Sijil Pengurusan Hutan mengikut Standard MC&I (Sustainable Forest Management) untuk tempoh 11 Julai 2019 hingga 31 Mei 2024. Pada tahun ini, Audit Pensijilan Semula / Pemantauan bagi Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan dijalankan pada tarikh seperti berikut:

Tarikh Audit Pensijilan Semula / Pemantauan (Recertification / Surveillance Audit) di FMU Perak

Bil Tarikh Audit Pensijilan Semula / Pemantauan
(Recertification / Surveillance Audit)
Badan Pensijilan
1 10 - 14 Jun 2013 JPSM
2 9 - 13 Disember 2013 SIRIM QAS International Sdn Bhd
3 11 - 15 Ogos 2014 JPSM
4 27 - 31 Oktober 2014 SIRIM QAS International Sdn Bhd
5 7 - 11 September 2015 JPSM
6 28 September - 2 Oktober 2015 SIRIM QAS International Sdn Bhd
7 19 - 21 Julai 2016 Audit Verifikasi oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd
8 9 - 12 Ogos 2016 JPSM
9 26 - 30 September 2016 SIRIM QAS International Sdn Bhd
10 7-11 Ogos 2017 JPSM
11 9-13 Oktober 2017 SIRIM QAS International Sdn Bhd
12 9-12 April 2018 JPSM
13 18-23 Februari 2019 SIRIM QAS International Sdn Bhd
14 6-10 Januari 2020 JPSM
15 17-21 Februari 2020 SIRIM QAS International Sdn Bhd
16 3-7 Ogos 2020 JPSM
17 22-25 September 2020 SIRIM QAS International Sdn Bhd
18 27 September 2021 - 1 Oktober 2021 SIRIM QAS International Sdn Bhd
19 4-8 Julai 2022 JPSM

Sijil MC&I

mcni2016


mcni2024                                                     


Last Updated: 16 October 2022

Hubungi Kami