Kos,Produktiviti dan Kecekapan Pengurusan Hutan

Pengurusan hutan yang sedang dilaksanakan adalah tertakluk kepada Rancangan Pengurusan Hutan (RPH) Negeri Perak (2016–2025). Penyediaan RPH adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 2(1) Akta Perhutanan Negara (1984). Dokumen Rancangan Pengurusan Hutan ini adalah penting bagi Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) dalam memelihara, memulihara, mentadbir dan mengurus hutan secara lestari di peringkat negeri.

Di dalam tempoh pelaksanaan RPH (2016–2020) secara keseluruhan, JPNPk telah dapat melaksanakan dengan cemerlang. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kekurangan yang perlu diberi perhatian khusus dalam tempoh 2021-2026. Di samping itu, JPNPk menghadapi pelbagai cabaran dalam memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan mengikut rancangan yang ditetapkan dengan tersusun dan teratur. Dalam tempoh perlaksanaan separuh penggal RPH, terdapat beberapa kekangan khususnya pada tahun 2019-2021 seperti berlakunya pandemik global COVID-19 yang telah menjejaskan perancangan dan kerja-kerja operasi di lapangan. Di samping itu, terdapat kekangan peruntukan kewangan yang mempengaruhi perlaksanaan RPH.

Di dalam konteks ini, kerajaan telah meluluskan Dasar Perhutanan Malaysia 2020 dan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia 2020 yang memerlukan perhatian yang terperinci dalam menyusun semula matlamat, objektif dan strategi jabatan selaras dengan dasar tersebut. Dalam tempoh separuh penggal pelaksanaan RPH Perak, JPNPk telah mengambil beberapa inisiatif dan projek-projek perintis dalam mengukuhkan keberkesanan perlaksanaan pengurusan hutan. Semakan RPH Negeri Perak telah dibuat seperti maklumat berikut:

  1. Dengan menerima pakai Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia, ianya akan mempengaruhi semua aspek – pemeliharaan, perlindungan dan pengurusan sumber hutan di Negeri Perak. Bagi tempoh 2021 – 2025, Jabatan Perhutanan Negeri Perak perlu membuat pengukuhan semula struktur organisasi, objektif dan strategi selaras dengan dasar baru ini. Dasar Perhutanan Malaysia 2020 dan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia 2020 memberi tumpuan dan penekanan kepada pengurusan hutan secara berkekalan di dalam kerangka ’Perak Bumi Lestari’ dan ‘Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030’. Aspek-aspek yang diberi tumpuan meliputi pengekalan keluasan HSK, pengurusan hutan daripada aspek pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi di dalam HSK. Di samping itu juga, penjanaan sumber kekayaan baru daripada segi eko-pelancongan, pembayaran perkhidmatan ekosistem dan industri perkayuan. Turut diberi tumpuan ialah pemeliharaan kesejahteraan hidup Orang Asli dan masyarakat setempat dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti pengurusan dan pembangunan hutan dan seterusnya, memupuk masyarakat yang mencintai khazanah hutan negara;
  2. Pihak JPNPk telah membuat penambahan bilangan kenderaan serta menggantikan kenderaan baharu bagi meningkatkan kecekapan operasi di pejabat dan hutan;
  • Sehingga September 2022, jumlah perjawatan pegawai dan kakitangan di Negeri Perak adalah sebanyak 778. Daripada jumlah tersebut, hanya 703 pengisian jawatan dan kekosongan 75 jawatan. Keadaan ini akan menjejaskan kelancaran operasi di hutan. Adalah didapati bahawa beban tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh JPNPk pada masa kini dan akan datang akan terjejas untuk mengurus sumber hutan secara berkekalan berdasarkan kepada jumlah pegawai dan kakitangan dalam struktur organisasi yang sedia ada. Justeru itu, satu pengukuhan semula struktur organisasi di JPNPk perlu diberi pertimbangan yang sewajarnya; dan
  1. Peruntukan kewangan adalah penting untuk memastikan perancangan pengurusan dapat dijalankan mengikut Rancangan Pengurusan Hutan yang telah dicadangkan. Pada kebiasaannya peruntukan yang diperolehi untuk pembangunan modal insan, pengurusan sumber hutan, pembangunan sumber hutan serta penyelenggaraan.


Last Updated: 20 October 2022

Hubungi Kami