Bunga Raya Putih

Nama saintifik : Hibiscus rosa-sinensis L
Nama biasa : Chinese hibiscus
Nama tempatan : Bunga raya putih
Famili : Malvaceae

Pendahuluan:
Bunga raya berasal dari Negeri China dan Kepulauan Pasifik. Bunga raya merupakan bunga kebangsaan kita. Selain daripada keindahan semulajadinya, ia juga mempunyai sifat-sifat perawatan yang sangat penting. Ia telah digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional Cina dan India di mana semua bahagian tumbuhan yang dianggap berguna dalam perawatan pelbagai jenis penyakit.

Ciri - Ciri Tumbuhan
Bunga Raya merupakan sejenis pokok renek berkayu dan mempunyai kulit kayu berwarna kelabu cerah. Daunnya berbentuk daun ringkas, berwarna hijau muda, berbentuk "ovate" dan tepi daun bergerigi pada separuh daun menghala bahagian atas. Bunganya agak menonjol, bilangannya sekuntum yang terletak di hujung tangkai yang panjang.


Tabiat Tumbuhan
Bunga raya merupakan tumbuhan yang ditanam dan kebanyakkannya di halaman rumah dan juga dijadikan sebagai tanaman lanskap.

Bahagian Yang Digunakan
Daun, akar dan bunga

Amalan Tradisi Perawatan
Daun dan tunas bunga muda secara tradisinya digunakan sebagai alat tuam untuk merawat bisul dan bengkak. Bunga raya merah dicampur dengan biji betik digunakan untuk mengawal haid dan juga digunakan untuk pengguguran. Di Malaysia, air rebusan akar digunakan untuk merawat demam dan penyakit kelamin. Manakala bunganya digunakan untuk rawatan penyakit bronkitis dan kadang-kadang digunakan sebagai bahan pewarna makanan. Rebusan akarnya juga digunakan untuk rawatan batuk, demam, sakit mata dan penyakit kelamin. Kulit kayu dari pokok bunga raya dari varieti bunga putih digunakan untuk merawat komplikasi kelahiran bayi. Daun dan bunga digunakan untuk merawat penyakit kulit dan untuk melegakan demam. Manakala rendaman daun atau tuaman daun digunakan untuk merawat sakit kepala dan bisul. Akar juga digunakan untuk merawat karbunkel (Jangkitan pada kulit dan tisu subkutaneus oleh Satyphyllocossus aureus yang akan menyebabkan radang ulser,bisul atau tumor).



Terakhir dikemaskini: 15 Julai 2014

Hubungi Kami