Silvikultur & Perlindungan

Fungsi Unit

Bertanggungjawab dalam melaksana dan menyelaras aktiviti-aktiviti silvikultur hutan seperti bancian hutan selepas tebangan, rawatan pemulihan hutan termasuk tanaman mengaya, memotong akar dan pepanjat dan tanaman di kawasan lapang, mengurus tapak semaian, penubuhan ladang hutan, pencegahan kebakaran hutan serangan penyakit atau serangga perosak, program pemeliharaan kepelbagaian biologi dan mengendali petak-petak Simpanan Hutan Dara. Melaksanakan amalan silvikultur bagi kawasan hutan darat asli serta hutan paya laut bagi memenuhi keperluan sistem pengurusan hutan yang diamalkan iaitu Sistem Pengurusan Memilih [Selective Management System (SMS)].  Amalan ini melibatkan pelaksanaan aktiviti-aktiviti untuk memulihkan kawasan hutan selepas pengusahasilan iaitu:

  •     Inventori Hutan Selepas Tebangan (Post-F)
  •     Memotong Akar/Pepanjat (CL)
  •     Tanaman Mengaya
  •     Tanaman Bakau dan Spesies Yang Sesuai di Pesisiran Pantai Pantai Negara

Inventori Hutan Selepas Tebangan (Post-F)

Inventori Hutan Selepas Tebangan dilaksanakan bagi tujuan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan kemaskini mengenai dirian tinggal serta maklumat mengenai kewujudan pepanjat, bertam dan tumbuhan-tumbuhan lain untuk menentukan jenis rawatan silvikultur yang perlu dijalankan ke atas sesuatu kawasan. Inventori ini dilaksanakan dalam tempoh dua (2) hingga lima (5) tahun selepas sesuatu kompartmen atau subkompartmen diusahasilkan.

Objektif

(i) Mengumpul maklumat yang tepat dan bererti mengenai kedudukan stok, isi kandungan, keadaan dan taburan semua pokok besar, kayu jaras, anak pokok dan anak benih supaya dapat diketahui gambaran isi hutan yang sebenar selepas tebangan dan dapat ditentukan rawatan silvikultur yang sesuai ke atas kawasan tersebut untuk perancangan hutan yang berkesan;

(ii) Mengumpul maklumat berhubung dengan sifat fisiografi hutan seperti ketinggian, kecuraman, keadaan dan jenis tanah, ekologi dan sistem sungai kawasan tersebut supaya dapat dirancang amalan silvikultur yang optimum dan pengurusan hutan bagi mengelakkan kesan buruk terhadap alam sekitar; dan

(iii) Mengumpul maklumat tentang kedapatan rotan, buluh, pepanjat, bertam dan tumbuhan lain supaya dapat dirancang cara rawatan selepas tebangan yang diperlukan untuk kawasan hutan tersebut.

Memotong Akar/Pepanjat (CL)

Memotong Akar/Pepanjat (CL) adalah merupakan suatu rawatan pemulihan hutan untuk memberikan pertolongan kepada dirian tinggal selepas pengusahasilan dijalankan. Rawatan ini dijalankan tidak lewat dari tiga (3) tahun selepas Post-F. Ia melibatkan aktiviti memotong akar/pepanjat yang mengganggu tumbesaran dirian tinggal.

Objektif

Untuk membebaskan pokok spesies RS daripada gangguan akar/pepanjat bagi penambahbaikan kualiti dirian dan membantu tumbesaran.

Tanaman Mengaya

Tanaman mengaya merupakan suatu rawatan pemulihan hutan ke atas kawasan hutan miskin dan kawasan lapang. Aktiviti tanaman mengaya akan membantu meningkatkan produktiviti sesuatu kawasan hutan supaya mencapai tahap yang dikehendaki terutamanya dari segi komposisi spesies berpasaran dan bermutu.

Objektif

(i) untuk meningkatkan stok dirian hutan miskin dengan komposisi spesies berpasaran dan bermutu tinggi bagi pengusahasilan seterusnya

(ii) untuk memulihkan kawasan-kawasan lapang supaya menjadi berhutan semula dengan spesies berpasaran dan berkualiti supaya menjadi sumber hutan yang dapat memberikan hasil

Tanaman Bakau dan Spesies Yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara

Pada amnya kawasan pesisiran pantai di negera ini terdiri daripada pelbagai bentuk rupa bumi dan keadaan geo-morfologi yang berbeza diantara satu tempat dengan tempat yang lain seperti pantai landai dan berpasir,tanah berlumpur seperti di kawasan hutan bakau,delta,muara sungai dan sungai yang di pengaruhi oleh air masin. Kawasan ini merupakan kawasan yang agak sensitif apabila tergangu sama ada akibat pembangunan atau secara semulajadi seperti pukulan ombak atau banjir.

Kawasan pesisiran pantai merupakan suatu ekosistem unik yang terletak di sepanjang pesisiran pantai yang berlumpur dan berpasir yang menjadi habitat penting kepada pelbagai flora dan fauna termasuk hidupan marin. Kawasan ini biasanya diliputi oleh hutan paya laut dan hutan pantai yang memainkan peranan penting sebagai benteng untuk memecah,menahan dan mengurangkan kesan tiupan angin dan pukulan ombak laut.

Objektif

(i) Untuk memulihara kawasan pesisiran pantai supaya menjadi lebih stabil sebagai lapisan lindungan semulajadi bagi mengelak dan mengurangkan tahap kemusnahan ke atas kemudahan-kemudahan infrastruktur,harta benda,penempatan serta kehilangan tanah disebabkan pukulan ombak dan tiupan angin kencang

(ii) Untuk memulihara habitat semulajadi untuk pemuliharaan kepelbagaian biologi dan

(iii) Untuk mewujudkan satu kawasan zon penampan semulajadi yang kukuh dan stabil bagi mengurangkan keperluan dan kos pelaksanaan kerja-kerja pengawalan hakisan pantai di masa hadapan